Saturday 7 April 2012

Wahabi or Salafi


bismillahirahmanirahim..

SOALAN:
Salam ustaz Rashidi.
Saya ada satu soalan yang berlegar-legar di dalam kepala saya sejak sekian lama. Sekarang banyak berlaku pergaduhan di antara Wahabi/Salafi dan Ahli Sunnah Wal Jama’ah berkaitan dengan ayat mutasyabihat. Setahu saya, Wahabi dikatakan mengikut jalan Salaf dan mengharamkan takwil terhadap ayat mutasyabihat. Namun Ahli Sunnah pula berkata Wahabi mengikut jalan Mujassimah yang menjisimkan Allah SWT.
Jika tidak keberatan, pohon ustaz jelaskan perbezaan Wahabi (yang dikatakan mengikut jalan Mujassimah) dengan pendapat Salaf yang sebenar mengenai ayat mutasyabihat. Saya agak keliru untuk membezakan di antara kedua-dua pendapat ini.
Sekian.
Daripada: Mohd Zaki.
Soalan ini telah dikemaskini (edit) daripada soalan asal agar lebih mudah difahami.

JAWAPAN:

PENGENALAN
Terima kasih di atas soalan saudara Mohd Zaki yang dikirimkan kepada saya melalui email sejak beberapa minggu lalu. Memandangkan keterbatasan masa (kesibukan saya) serta persoalan yang dikemukakan ini memerlukan penjelasan yang agak panjang, maka baru hari ini sempat untuk saya menjawabnya secara lebih terperinci. InsyaAllah.
Saya mengetahui bahawa persoalan sebegini merupakan persoalan yang seringkali bermain-main difikiran kita terutamanya ketika membahaskan perihal nas-nas mutasyabihat. Tambah merumitkan lagi, aliran Wahabi juga turut mengakui mereka berpegang dengan metode Salaf untuk tidak mentakwilkan nas-nas mutasyabihat yang berbentuk sifat. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah: Adakah metode Salaf mempunyai persamaan dengan metode Wahabi di dalam memahami nas-nas mutasyabihat?
Sebelum saya ingin meneruskan perbincangan, eloklah kiranya kita mengetahui terlebih dahulu tentang metode yang digunakan oleh Salaf dan Khalaf di dalam permasalahan ini   http://buluh.iluvislam.com/?p=159  . Bagi sesiapa yang ingin mengenai aliran Wahabi secara lebih dekat  http://buluh.iluvislam.com/?p=41 .
SOROTAN ALIRAN MUJASSIMAH/MUSYABBIHAH – WAHABI
Jika kita melihat kepada sorotan aliran pemikiran akidah, Syiah aliran Hisyamiyyah merupakan antara aliran terawal di dalam Islam yang mempunyai pegangan Allah SWT itu berjisim dan mempunyai bentuk tertentu. Pegangan seperti ini tidaklah menghairankan memandangkan aliran Syiah itu sendiri mula dicetuskan oleh seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk agama Islam bernama Abdullah bin Saba.
Selepas itu, pegangan Syiah ini mula dipopularkan semula oleh aliran Mujassimah/Musyabbihah dengan mengatakan bahawa sifat Allah SWT itu menyerupai sifat seperti makhlukNya. Atas dasar ini, mereka mendakwa bahawa Allah SWT itu mempunyai tangan, kaki, muka dan sebagainya lagi berdasarkan kefahaman mereka terhadap nas-nas mutasyabihat berbentuk sifat. Mereka memahami nas-nas mutasyabihat itu dengan makna zahir semata-mata sehingga membawa kepada penyerupaan Allah SWT dengan makhlukNya tanpa mereka sedari. Mereka dilihat terlalu berlebih-lebih di dalam tafwidh untuk tidak melakukan takwil terhadap nas-nas mutasyabihat.
Kemudian pemikiran aliran Mujassimah/Musyabbihah ini berjangkit pula kepada sebilangan pengikut Imam Ahmad bin Hanbal. Sebagai buktinya, ketika Imam al-Asy’ari memberikan buku beliau bertajuk al-Ibanah kepada salah seorang pengikut mazhab Hanbali pada zamannya yang bernama al-Barbahari (tokoh Hanbali yang terpengaruh dengan pemikiran aliran Mujassimah/Musyabbihah), buku tersebut telah ditolak oleh al-Barbahari. Penolakan ini dilihat sangat menghairankan memandangkan al-Ibanah ditulis berdasarkan metode Imam Ahmad bin Hanbal.
Pemikiran ini terus berlarutan sehinggalah sampai ke kurun ke-4 dan ke-5 Hijrah. Tokoh mazhab Hanbali yang dilihat terpengaruh dengan aliran Mujassimah/Musyabbihah pada ketika itu ialah Abdullah bin Hamid, Qadhi al-Fara’ Abu Yala dan Ibn al-Zaghuni. Seorang tokoh ulama mazhab Hanbali iaitu Imam al-Jauzi (bukan Ibn Qayyim al-Jauzi) telah bangun menjelaskan kepincangan pemikiran ini daripada merosakkan mazhab Hanbali. Beliau telah mengembalikan semula metode sebenar Imam Ahmad bin Hanbal kepada pengikut mazhab Hanbali.
Kemudian pemikiran aliran ini dihidupkan semula pada kurun ke-7 Hijrah oleh Ibn Taimiyyah dan diikuti pula oleh muridnya Ibn Qayyim. Metodenya dilihat mempunyai persamaan dengan pengikut Hanbali sebelum ini kerana mereka mengakui bahawa mereka mengikut metode Salaf pimpinan Imam Ahmad bin Hanbal, tetapi mereka turut terjerumus di dalam aliran Mujassimah/Musyabbihah. Pegangan Ibn Taimiyyah ini terus diikuti pula oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang menjadi pengasas aliran Wahabi.
KEKELIRUAN WAHABI TERHADAP NAS-NAS MUTASYABIHAT
Sebilangan pengikut mazhab Hanbali yang terjerumus ke dalam fahaman Mujassimah/Musyabbihah ini sebenarnya menghadapi kekeliruan di dalam memahami metode Salaf pada 7 keadaan. Seorang ulama mazhab Hanbali iaitu Imam al-Jauzi di dalam karyanya Al-Baz al-Asyhab al-Munqada Ala Mukhalifi al-Mazhab (juga dikenali sebagai Daf’ Syubhat al-Tasybih) telah menjelaskan kekeliruan mereka itu sepertimana berikut:
1. Mereka menyatakan bahawa khabar adalah sifat sedangkan ia adalah idafat. Ini kerana bukan setiap idafat itu adalah sifat.
2. Mereka menyatakan bahawa hadis-hadis mutasyabihat tidak diketahui pengertiannya melainkan Allah SWT sahaja. Tetapi mereka memahaminya secara zahir.
3. Mereka menyakini bahawa Allah SWT itu mempunyai sifat-sifat tertentu tetapi sifat-sifat tersebut tidak dapat disabitkan melainkan dengan apa yang disabitkan oleh dalil-dalil qati sahaja.
4. Mereka tidak dapat membezakan di antara hadis-hadis masyhur dan daif sehingga mengambil kedua-duanya sekali.
5. Mereka tidak dapat membezakan di antara hadis marfu dan mauquf sehingga mengambil kedua-duanya sekali.
6. Mereka mentakwilkan beberapa lafaz di dalam sesuatu perkara tertentu tetapi tidak mentakwilkan di dalam perkara yang lain.
7. Mereka memahami hadis-hadis berdasarkan kesesuaian pancaindera manusia seperti mengatakan Allah SWT turun, berpindah dan bergerak dengan zatNya, tetapi tidak seperti yang difikirkan manusia.
Jika kita perhatikan, salah satu daripada 7 perkara ini sudah tentu menjadi pegangan aliran Wahabi di dalam memahami nas-nas mutasyabihat. Namun begitu, mereka tetap mempertahankan pegangan mereka itu atas alasan ia adalah metode Salaf yang sebenarnya.
KEFAHAMAN SALAF TERHADAP NAS-NAS MUTASYABIHAT
Menurut Imam al-Ghazali di dalam karyanya Iljam al-Awwam an Ilm al-Kalam, kefahaman ulama Salaf yang sebenarnya ketika berinteraksi nas-nas sifat mutasyabihat seperti tangan dan jari Allah SWT, mereka mengetahui bahawa terdapat dua pengertian tentang sifat-sifat Allah SWT itu. Pertamanya, sifat-sifat tersebut adalah berbentuk majazi yang diketahui di kalangan bangsa Arab tanpa perlu kepada pentakwilan atau penafsiran. Keduanya, sifat-sifat tersebut mempunyai pengertian dari sudut bahasa yang boleh membawa kepada tajsim dan tasybih kepada Allah SWT. Namun kadang-kala perkataan seperti tangan turut digunakan bukan untuk menunjukkan jisim seperti: Negeri ini berada di tangan pemerintah. Oleh itu, setiap orang Islam mesti meyakini bahawa Rasulullah SAW tidak berkehendak untuk menyatakan sifat-sifat Allah SWT itu adalah jisim sekalipun mereka (iaitu Salaf) tidak melakukan takwil.
Sehubungan dengan itu, Imam al-Ghazali telah menggariskan 7 sikap yang menjadi pegangan ulama Salaf ketika berhadapan dengan nas-nas mutasyabihat iaitu:
1. Mensucikan Allah SWT dari jasad atau jisim serta perkara yang berkaitan dengannya.
2. Membenarkan dengan mengimani apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW.
3. Mengakui kelemahan bahawa mengetahui maknanya adalah harus bersesuaian dengan kemampuan diri dan tidak menjadi tanggungjawab.
4. Diam dan tidak bertanya-tanya atau mencari-cari tentang maknanya. Bertanya-tanya tentangnya adalah bidaah dan mencari-cari maknanya akan membahayakan agama.
5. Menahan diri dengan tidak menyingkap lafaz-lafaz tersebut dengan diganti atau diubah dengan bahasa atau lafaz yang lain.
6. Cukup dengan menahan diri daripada mencari-cari dan berfikir-fikir tentangnya.
7. Menyerahkan kepada orang yang lebih berilmu untuk menentukannya.
Berdasarkan penjelasan Imam al-Ghazali dan Imam al-Jauzi, jelaslah kepada kita bahawa Salaf tidak memahami nas-nas mutasyabihat berdasarkan pengertian zahir semata-mata. Mereka hanya membenarkan lafaz-lafaz mutasyabihat tersebut tanpa membawakan pengertiannya menurut kefahaman bahasa biasa. Ini kerana kefahaman dengan makna bahasa biasa akan menyebabkan tajsim dan tasybih kepada Allah SWT kerana ia membawa kepada pengertian zahir semata-mata.
KESIMPULAN
Walaupun terdapat perselisihan pendapat di antara aliran Salaf dan Khalaf dalam menghadapi nas-nas mutasyabihat, namun mereka tetap tergolong di dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah juga. Ini kerana keutamaan metode kedua-dua aliran ini tetap berpegang teguh dengan al-Quran al-Karim dan al-Sunnah SAW. Pendekatan Salaf dilihat lebih selamat, manakala pendekatan Khalaf pula dilihat lebih mengetahui dan bijaksana. Inilah kesepakatan di antara ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah sama ada daripada aliran Salaf atau Khalaf tanpa perlu menghukum kafir, bidaah atau sesat terhadap aliran yang tidak sependapat dengan mereka.
Pun begitu, kehadiran aliran Wahabi / Salafi Jadian telah mengubah kesepakatan ini. Mereka dilihat terlalu mudah menghukum kafir, bidaah atau sesat terhadap aliran yang bersalahan dengan pendapat mereka. Lebih menghairankan, mereka mengakui bahawa mereka berpegang dengan metode Salaf tetapi hakikatnya tidaklah begitu.
Wallahualam.
Buluh.iluvislam.com

No comments:

Post a Comment